Wednesday, June 3, 2009

Ah long dalang jenayah pelacuran, perjudian

JOHOR BAHRU 3 Jun - Kumpulan ah long di negeri ini bukan sahaja bertindak sebagai ceti haram malah mereka turut terlibat dalam jenayah pelacuran, pengedaran dadah dan perjudian.
Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff. Beliau berkata, polis telah mengenal pasti kumpulan ah long berkenaan dan sedang memburu mereka.
''Kita dalam proses mengumpulkan maklumat berkaitan individu terbabit supaya boleh dikenakan tindakan.
''Siasatan sedang dibuat atas pelbagai sudut kerana mereka juga terlibat dengan jenayah lain,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Bersepadu bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menurunkan poster dan kain rentang iklan haram ah long, di sini hari ini.
Operasi yang dijalankan serentak di seluruh negeri ini disertai 54 petugas MBJB dan 77 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Tegas Mohd. Mokhtar, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan individu yang menjalankan aktiviti haram seperti itu kerana ia menyalahi undang-undang.
''Tindakan mereka juga tidak wajar kerana meletakkan undang-undang di tangan sendiri,'' katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhenti meminjam wang daripada ah long kerana akan memberi implikasi negatif kepada kehidupan diri dan keluarga.
''Masyarakat perlu hidup dengan kudrat yang kita ada dan berbelanja mengikut kemampuan sendiri,'' katanya.

bilakah perkara seumpama ini akan menemui jalan penyelesaian?????

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA